LENSA KPWKM

MAJLIS PENUTUP FORUM KEPENDUDUKAN SEMPENA SAMBUTAN HARI PENDUDUK SEDUNIA 2025

Program      21 Julai 2025      Kuala Lumpur    

Majlis Penutup Forum Kependudukan Sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025

21 Julai 2025

Majlis Penutup Forum Kependudukan sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 telah dirasmikan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau
menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kependudukan yang semakin kompleks dan mencabar. Ucapan beliau telah dibacakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa perhatian serius perlu diberikan terhadap pelbagai isu kependudukan seperti hak kesihatan reproduktif, perubahan demografi, kesejahteraan keluarga serta keperluan untuk memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang. Pendekatan holistik dan kolaboratif diperlukan bagi memastikan cabaran-cabaran ini ditangani secara menyeluruh dan inklusif.

Forum yang bertemakan “Menangani Krisis Kependudukan: Menuju Masa Depan yang Mampan dan Inklusif” ini telah menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju dasar kependudukan negara. Ia memberi ruang untuk refleksi dan perancangan strategi jangka panjang berdasarkan input dan pandangan daripada panel-panel pakar yang berwibawa.

Forum ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), serta menampilkan dua ahli panel terkemuka iaitu YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia dan YBrs. Dr. Vilashini Somiah, Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Laporan State of World Population 2025 terbitan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang bertajuk “The Real Fertility Crisis: The Pursuit of Reproductive Agency in a Changing World”. Laporan ini menggariskan cabaran serta peluang dalam konteks global berkaitan kesuburan, pilihan reproduktif, dan keadilan antara generasi.

Majlis penutup ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato’ Sri Rohani Karim, Pengerusi LPPKN, Dr. Julitta Onabanjo, Perwakilan Tetap UNFPA Malaysia dan Dr. Nurulhuda Mohd Satar, Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

ATAS
Accessbility Option