LENSA KPWKM

KEMERIAHAN HARI KEDUA NBKK26 SEMARAKKAN SEMANGAT “KASIH KELUARGA, JIWA NEGARA”

Program      7 November 2026      Selangor    

KEMERIAHAN HARI KEDUA NBKK26 SEMARAKKAN SEMANGAT “KASIH KELUARGA, JIWA NEGARA”!

7 November 2026

Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 (NBKK26) terus berlangsung meriah pada hari kedua dengan pelbagai aktiviti menarik yang menghimpunkan seisi keluarga dan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam.

Antara pengisian yang telah berlangsung termasuk Pocket Talk “KASIH Keluarga”, Zumba KASIH Keluarga serta acara pelepasan peserta KASIH Family Treasure Hunt yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Aktiviti KASIH Family Treasure Hunt pula memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berinteraksi, bekerjasama dan mengeratkan hubungan melalui aktiviti santai yang menyeronokkan, sekali gus memupuk semangat kebersamaan serta komunikasi yang positif dalam keluarga.

Bertemakan “KASIH Keluarga, Jiwa Negara”, sambutan NBKK26 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membawa mesej bahawa institusi keluarga yang kukuh merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni, penyayang dan sejahtera.

Turut hadir memeriahkan sambutan ialah YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM; YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM; YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM serta barisan pengurusan tertinggi KPWKM, jabatan dan agensi di bawah Kementerian.

Penganjuran NBKK26 mencerminkan komitmen berterusan KPWKM dalam memperkasa institusi keluarga melalui pembudayaan nilai kasih sayang, pengukuhan komunikasi dan galakan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

KASIH Keluarga, Jiwa Negara!

ATAS
Accessbility Option