KPWKM Terus Memperkukuh Kesiapsiagaan Negara Menghadapi Penuaan Penduduk
27 Jun 2026
YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), telah mewakili Kementerian sebagai panel dalam Forum & Pameran “Rising Healthcare Costs and Inadequate Retirement Savings; A Double Whammy on Retirement” anjuran Third Age Media Association di Assunta Hospital, Petaling Jaya.
Turut hadir ialah Encik Asmar Asmadi bin Abdullah Sani, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, pegawai Unit Dasar Warga Emas, serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai komitmen berterusan KPWKM dalam memacu agenda nasional berkaitan warga emas.
Dalam sesi tersebut, TKSU (D) menekankan tiga perkara utama:
1. Malaysia menuju status negara tua menjelang 2036, menuntut persediaan dasar yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
2. Penuaan sebagai agenda seluruh negara, melibatkan kerjasama antara kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan melalui pendekatan whole-of-nation.
3. Pengukuhan Ekosistem Penjagaan Jangka Panjang (LTC) melalui latihan TVET penjagaan, pembangunan Standard Penjagaan Kebangsaan, serta sokongan inovasi Silver Economy.
TKSU (D) turut mengetengahkan dua projek game changer KPWKM:
* Rang Undang?Undang Warga Emas — memperkukuh perlindungan, akauntabiliti dan hak warga emas termasuk menangani pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
* Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia — membangunkan ekosistem penjagaan yang mampan, bersepadu dan berasaskan komuniti selaras dengan RMK13.
KPWKM kekal komited memastikan warga emas Malaysia dapat menikmati kehidupan yang bermaruah, selamat dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.