Delegasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diwakili dua orang pegawai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) iaitu Dr. Wan Hilya Munira Mustapha, Ketua Pusat Kepakaran Subfertiliti, LPPKN dan En. Adzmel Mahmud, Pengarah Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga telah menghadiri “58th Sesssion of the Commission on Population and Development (CPD).
Tema utama persidangan 58th CPD ialah “Ensuring Healthy Lives And Promoting Well-Being For All At All Ages .” Persidangan yang telah berlangsung dari 7 hingga 11 April 2025 ini disertai oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa yang sama, Malaysia juga telah menjadi penganjur bersama acara sampingan di CPD dengan kerjasama NGO Committee on the Family. Acara sampingan bertajuk “Exploring Global Fertility Trends, Family Dynamics and Solutions” telah dihadiri oleh para peserta dari pelbagai negara dengan ucaptama disampaikan oleh TYT Dato’ Dr. Ahmad Faisal Muhamad, Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Amerika Syarikat.
Semasa mesyuarat ini juga, telah berlangsung mesyuarat khas Majlis Ekonomi dan Sosial (Economic and Social Council - ECOSOC) PBB dan Malaysia telah dipilih sebagai anggota CPD yang baharu bagi penggal 2026-2030 mewakili negara-negara rantau Asia Pasifik. Pelantikan ini mencerminkan keyakinan komuniti dunia kepada Malaysia khususnya berkaitan isu kependudukan. KPWKM akan terus komited dalam memastikan penglibatan aktif Malaysia di pentas global.