LENSA KPWKM

KURSUS KUASA BICARA KOMUNIKASI DAN RUNDINGAN BERKESAN

Latihan      22 September 2026      Pilihan    

Kursus Kuasa Bicara: Komunikasi dan Rundingan Berkesan

22 - 23 September 2026

Bagi memperkukuh kemahiran komunikasi serta rundingan dalam persekitaran kerja yang semakin dinamik, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menganjurkan kursus “Kuasa Bicara: Komunikasi dan Rundingan Berkesan” yang menghimpunkan peserta daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Kursus ini dilaksanakan dengan pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan yang memerlukan para peserta bukan sekadar menerima input melalui sesi penyampaian, sebaliknya digerakkan untuk berfikir, berkongsi pengalaman, menganalisis situasi sebenar dan menguji kemahiran secara langsung melalui aktiviti yang dirancang secara interaktif.

Antara pengisian utama kursus ini ialah penerokaan konsep BATNA (Best Alternative to a Negotiated Agreement) yang memberi perspektif lebih strategik dalam menentukan pilihan agar dapat mencapai persetujuan terbaik.

Peserta turut membentangkan pendekatan berdasarkan situasi sebenar di tempat bertugas masing-masing, sebelum mengaplikasikan kemahiran tersebut menerusi sesi role play yang mengetengahkan situasi komunikasi dan rundingan di tempat kerja.

Pendekatan secara praktikal ini membolehkan para peserta mengasah keupayaan berkomunikasi dengan jelas, mengurus perbezaan pandangan, memahami perspektif pihak lain serta membina strategi rundingan secara lebih yakin dan berkesan.

Selaras dengan fungsi KPWKM yang berhadapan dengan pelanggan daripada pelbagai generasi, latar belakang dan perspektif yang berbeza, kemahiran komunikasi yang jelas dan berempati serta rundingan yang berkesan amat penting dalam memastikan setiap interaksi dapat diurus dengan lebih baik serta penyampaian perkhidmatan terus dapat diperkukuh.

Daripada teori kepada situasi sebenar, peserta didorong untuk melihat rundingan dari perspektif yang lebih strategik yang membuka ruang kepada persetujuan terbaik, sekali gus memberi manfaat kepada pihak yang terlibat. Kuasa bicara bukan pada lantangnya suara, tetapi pada seni merungkai perbezaan dan menemukan titik persetujuan.

ATAS
Accessbility Option