LENSA KPWKM

KPWKM TERUS MEMPERKUKUH PEMERKASAAN WANITA DI KAPIT MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN HOLISTIK, INKLUSIF DAN BERIMPAK TINGGI

Program      15 November 2025      Sarawak    

KPWKM Terus Memperkukuh Pemerkasaan Wanita Di Kapit Melalui Pendekatan Pembangunan Holistik, Inklusif Dan Berimpak Tinggi

15 November 2025

Seramai 317 peserta hadir menyertai Program Advokasi Kasih Wanita @ Kapit, sebuah program bersepadu yang menggabungkan dua komponen utama iaitu Wanita Dinamik dan Toleransi Sifar Keganasan. Inisiatif ini dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bagi memastikan komuniti wanita di kawasan pedalaman turut menerima sokongan pembangunan yang menyeluruh.

Melalui inisiatif Wanita Dinamik, peserta dibimbing dalam peningkatan kemahiran, latihan keusahawanan, pengurusan kewangan asas dan sokongan modal kecil. Usaha ini memberi peluang kepada wanita untuk membina pendapatan mampan, membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Manakala, Program Toleransi Sifar Keganasan pula memberi tumpuan kepada pendidikan, kesedaran dan advokasi mengenai isu keganasan terhadap wanita, gangguan seksual serta hak perlindungan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840). Pendekatan ini penting bagi membentuk komuniti yang lebih peka, responsif dan selamat.

YB Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa wanita ialah tunjang pembangunan negara sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan keluarga, komuniti dan negara. YB Menteri turut menekankan keperluan meningkatkan keberanian wanita untuk tampil, bersuara dan melindungi diri serta mengajak seluruh masyarakat untuk menolak segala bentuk keganasan terhadap wanita.

ATAS
Accessbility Option