Majlis Perasmian Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak
7 September 2026
Majlis Perasmian Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Kuching.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa pilihan dari segi kerjaya, berkahwin dan mempunyai anak dalam kalangan generasi ini bukan sahaja dibuat bagi menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri, malah akan mencorakkan landskap sosial, ekonomi dan demografi pada masa hadapan,
Justeru itu, aspirasi generasi muda perlu diberi perhatian agar dasar, program dan intervensi yang dilaksanakan benar-benar relevan dengan keperluan mereka.
Dapatan awal Tinjauan Pendapat Umum Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 menunjukkan pekerjaan yang baik dan stabil menjadi aspirasi utama golongan muda dengan 68.3 peratus, diikuti keperluan mempunyai simpanan kewangan mencukupi sebanyak 66.7 peratus, memiliki rumah idaman 63.3 peratus serta berkahwin dan membina keluarga sendiri 46.7 peratus.
Ini menggambarkan generasi muda masih berhasrat untuk berkahwin dan membina keluarga, tetapi aspirasi tersebut tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan persekitaran yang kondusif, termasuk sokongan keluarga, kos sara hidup yang terkawal, peluang pekerjaan yang bersesuaian serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
Usaha memperkasa kesejahteraan generasi muda memerlukan komitmen semua pihak termasuk Kerajaan, keluarga, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti.
Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus memperkukuh ekosistem sokongan kepada generasi muda. Antara sokongan yang disediakan termasuk Program Pendidikan Praperkahwinan SMARTSTART, pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan, kaunseling perkahwinan dan keluarga serta pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.