LENSA KPWKM

SIDANG KEMUNCAK WORLD WOMEN ECONOMIC BUSINESS SUMMIT (WWEBS)

Program      10 Julai 2025      Kuala Lumpur    

Sidang Kemuncak World Women Economic Business Summit (WWEBS)

10 Julai 2025

Usaha kolektif dalam memperkasakan wanita sebagai penggerak utama pembangunan ekonomi global amatlah penting, khususnya dalam era transformasi digital yang pesat.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini telah menghadiri dan menyampaikan ucaptama dalam Sidang Kemuncak World Women Economic Business Summit (WWEBS), sebuah forum antarabangsa berprofil tinggi yang menghimpunkan para pemimpin dunia untuk membincangkan isu-isu strategik berkaitan wanita dalam perniagaan, pendidikan dan pekerjaan.

Sidang kemuncak yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur ini telah menarik penyertaan tokoh-tokoh antarabangsa termasuk pegawai kanan kerajaan, pemimpin korporat, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil dari pelbagai negara.

YB Menteri turut menyampaikan tanda perhargaan kepada Yayasan Hasanah, Nestle dan ChmielAdvisory selaku penaja program WWEBS kali ini, yang menjadi platform penting untuk merintis jalan ke arah ekosistem yang lebih inklusif dan mampan buat wanita di seluruh dunia.

Turut berlangsung beberapa sesi interaktif antaranya forum bertajuk Kepimpinan Digital & AI: Wanita Membentuk Masa Depan Teknologi dan Tindakan Iklim & Ekonomi Hijau: Wanita Menerajui Perniagaan Lestari, Sesi Fireside Chat: Kepimpinan Rentas Generasi. Menjambatani Generasi Z ke Generasi Baby Boomer serta Sesi Interaktif: Kuasa Seni dalam Perniagaan, Keselamatan Kesihatan Global, Kepimpinan Ketika Krisis dan Daya Tahan Ekonomi Wanita.

Kementerian sentiasa komited dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk memperluas ruang dan peluang kepada wanita, sekaligus mempercepatkan pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG), khususnya berkaitan kesaksamaan gender dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Turut sama hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Tan Sri Michael Yeoh, Presiden Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI), Dato' Halimah Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WWEBS dan pegawai-pegawai kanan Kementerian.

ATAS
Accessbility Option