Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 (SHWA25) terus digelorakan dengan pelbagai aktiviti menarik di seluruh negara. Hari ini telah berlangsung Forum Hari Wanita Sedunia yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertemakan “Kesaksamaan Gender Penggerak Perubahan” sempena SHWA25 telah diadakan pada hari ini bagi menghargai jasa dan sumbangan kaum wanita kepada negara.
Forum anjuran Parlimen Malaysia ini juga menjadi platform percambahan idea selain membudayakan perkongsian ilmu dalam kalangan Ahli Parlimen, ahli akademik dan aktivis masyarakat berkaitan isu kesaksamaan gender selaras dengan prinsip tiada yang terpinggir atau ‘leave no one behind’ dalam mendapatkan hak, peluang dan juga perlindungan.
Forum ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pertama yang membincangkan mengenai “Wanita Perkasa Peneraju Legasi Negara” manakala sesi kedua berfokuskan tentang “Keterangkuman Menjamin Kemandirian Setiap Individu”.
Di akhir forum tersebut, turut diadakan sesi santai bersama Penyampai TV dan Radio serta Usahawan Puan Nurul Hana Che Mahazan atau Nana Mahazan. Kehadiran para peserta dari pelbagai latar belakang jelas mencerminkan sokongan yang padu terhadap usaha Kerajaan bagi memperjuangkan kesaksamaan gender dan memperkasa wanita demi mencipta perubahan yang berkekalan.
LENSA KPWKM
FORUM HARI WANITA SEDUNIA 2025
Program 7 March 2025 Parlimen