Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menerima kunjungan hormat daripada Puan June Kunugi, Pengarah Serantau United Nations Children’s Fund (UNICEF) bagi Asia Timur dan Pasifik, sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Malaysia. Semasa pertemuan tersebut, pelbagai perkara telah dibincangkan antaranya berkaitan sesi Dialog Malaysia bersama Jawatankuasa Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva yang akan berlangsung pada bulan September 2025.
Selain itu, perbincangan turut tertumpu kepada kerjasama antara KPWKM dan UNICEF, termasuk perkara berkaitan kebajikan kanak-kanak, penganjuran program di peringkat antarabangsa, peranan penting pekerja sosial dan pelbagai lagi.
Lawatan ini mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam memperjuangkan hak kanak-kanak dan KPWKM amat menghargai sokongan erat UNICEF dalam memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia, serta komitmen ke arah perkongsian amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sesi kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan turut disertai oleh para pegawai dari pelbagai bahagian di KPWKM antaranya Bahagian Hubungan Antarabangsa, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).