Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan Tahun 2026
10 Mei 2026
Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli ke Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 yang diadakan di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Bertemakan “Seteguh Kasih Ibu”, sambutan ini diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada ketabahan, pengorbanan dan kasih sayang luar biasa golongan ibu dalam membentuk kesejahteraan keluarga serta pembangunan masyarakat.
Kerajaan komited memperkukuh sokongan kepada wanita dan keluarga melalui pendekatan yang menyeluruh berteraskan
kesejahteraan. Pakej Seteguh KASIH Ibu (PSKI) telah diperkenalkan dengan menawarkan sokongan kepada para ibu melalui tiga komponen utama iaitu:
• Pakej Sayang Ibu – memberi fokus kepada kesihatan wanita termasuk saringan awal kanser reproduktif dan subsidi mamogram
• Pakej Bonding KASIH Ibu – memperkukuh kesejahteraan emosi dan hubungan kekeluargaan
• Pakej Minda Tenang – menyediakan sokongan kesejahteraan mental dan relaksasi untuk para ibu.
Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Inspirasi Ibu bagi menghargai wanita yang berjuang mendapatkan zuriat dan menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta seluruh warga kerja KPWKM merafak sembah dan menjunjung kasih atas keprihatinan dan limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim bercemar duli ke Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026. Ini mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap usaha memperkasa dan memartabatkan wanita serta keluarga di negara ini.
Turut hadir ialah YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dato’ Dr. Wan Ismail, Isteri YAB Perdana Menteri, YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, YBhg. Dato' Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan serta Agensi Kementerian.