LENSA KPWKM

PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA KELUARGA DAN MASYARAKAT BILANGAN 3 TAHUN 2026 & TERAPI KASIH KELUARGA CERIA

Program      27 April 2026      KPWKM    

Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Bilangan 3 Tahun 2026 & Terapi Kasih Keluarga Ceria

27 April 2026

Hari ini telah berlangsung Perhimpunan Bulanan KPWKM Bilangan 3 Tahun 2026 & Terapi Kasih Keluarga Ceria yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertempat di Dewan Perdana Nur, KPWKM.

YB Menteri dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan KPWKM dalam memperkukuh perlindungan sosial melalui tinjauan operasi di sekitar Kuala Lumpur dan Desa Bina Diri (DBD) Mersing bagi memberikan penyelesaian kepada isu gelandangan dan pengemis serta serta lawatan kerja ke Rumah Perlindungan Wanita bagi mengenal pasti keperluan khusus mangsa pemerdagangan orang.

Dalam usaha membanteras gangguan seksual, Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) menunjukkan pencapaian positif apabila berjaya menyelesaikan 68 aduan dalam tempoh 60 hari.

Selain itu, pelbagai inisiatif memperkasa wanita dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita antaranya Sinergi Kasih Wanita Perkasa Akar Umbi, Program Psikososial di PPR Sri Stulang, Program KasihNita bagi membantu golongan ibu tunggal di Malaysia dan Pelancaran PRISMAnita.

KPWKM melalui Yayasan Kebajikan Negara komited menjaga kebajikan kumpulan sasar dan membantu mereka yang memerlukan dengan meneruskan Program Bantuan Kasih Prihatin dan Program Sinar Syawal YKN.

Seramai 41 orang klien Jabatan Kebajikan Masyakat telah menunaikan ibadah umrah pada Mac yang lalu dengan mendapat tajaan daripada Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd dengan diiringi oleh pegawai - pegawai JKM. Perlindungan terhadap kanak-kanak terus diperkukuh menerusi sesi libat urus Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bersama pengusaha TASKA dan pengendali pusat jagaan bagi membincangkan isu serta cabaran pengoperasian pusat jagaan.

KPWKM juga memberi perhatian terhadap kesejahteraan mental masyarakat melalui pelaksanaan Program Minda Sihat, Komuniti Sejahtera anjuran Lembaga Kaunselor Malaysia sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperkukuh sokongan komuniti kepada individu yang menghadapi tekanan emosi.

Program Terapi Kasih Keluarga Ceria yang diadakan hari ini mencerminkan keprihatinan kementerian terhadap kesejahteraan emosi dan keharmonian keluarga sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera.

YB Menteri turut menyeru seluruh warga KPWKM untuk melaksanakan amanah dengan penuh ikhlas dan semangat kebersamaan dalam menyantuni rakyat.

ATAS
Accessbility Option