Kursus Malaysia MADANI Perkhidmatan Awam (MMPA)
Kursus Malaysia MADANI Perkhidmatan Awam (MMPA) telah berjaya dilaksanakan pada 20 hingga 21 Mei 2025 bertempat di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Kursus ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPWKM dengan penyertaan seramai 40 orang peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementerian ini.
Kursus ini merupakan antara inisiatif berterusan KPWKM dalam memperkasa kefahaman serta penghayatan penjawat awam terhadap gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia MADANI merupakan kerangka dasar negara yang mengangkat enam nilai teras iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya Cipta, HormAt, KeyAkinan dan Ihsan.
Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta telah didedahkan dengan pengisian interaktif yang merangkumi ceramah, perbincangan kumpulan serta simulasi kajian kes. Kursus ini juga mengetengahkan pendekatan HEMAT (Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran) sebagai nilai pelengkap dalam memperkukuh integriti dan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang berpaksikan rakyat.
Pada akhir kursus ini, peserta telah membentangkan Kajian Kes Bitara Malaysia MADANI di mana para peserta mengaplikasikan pemahaman mereka terhadap nilai-nilai teras Malaysia MADANI dan konsep HEMAT dalam menyelesaikan cabaran perkhidmatan awam secara inovatif dan proaktif.
KPWKM komited untuk terus memperluas program pembangunan kompetensi seumpama ini sebagai wadah pembentukan modal insan sektor awam yang cekap dan berdaya saing serta berjiwa rakyat berteraskan nilai MADANI.