LENSA KPWKM

SESI TOWNHALL BERSAMA YB MENTERI KPWKM BERHUBUNG RANG UNDANGUNDANG PROFESION KERJA SOSIAL (RUU PKS)

Program      11 Julai 2025      KPWKM    

Sesi Town Hall YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Berhubung Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial (RUU PKS)

11 Julai 2025

YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengadakan satu sesi town hall bersama semua pihak berkepentingan berkaitan RUU PKS di Putrajaya hari ini. Sesi tersebut telah dihadiri oleh hampir 200 orang peserta dari pelbagai kementerian/agensi Kerajaan, institusi akademik, syarikat korporat, badan bukan Kerajaan, pertubuhan berasaskan kominiti, persatuan kerja sosial serta badan antarabangsa berkaitan bidang kerja sosial.

Sesi town hall ini bertujuan memberikan gambaran menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan berkaitan konsep, hala tuju serta ketetapan dasar dalam penggubalan Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial (RUU PKS).

Selain menjadi medium penyampaian maklumat, sesi ini juga berperanan sebagai platform dialog terbuka antara KPWKM bersama agensi-agensi di bawah seliaannya dengan pihak berkepentingan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas, pandangan dan cadangan agar RUU yang digubal bersifat holistik, inklusif serta relevan dengan landskap semasa pembangunan sosial negara.

Penggubalan RUU PKS ini selaras dengan keperluan perkhidmatan kerja sosial yang semakin mendesak dalam negara berikutan peningkatan isu sosial yang semakin kompleks, perubahan dalam landskap demografi negara yang menuju ke arah negara tua, urbanisasi yang pesat, peningkatan kos sara hidup dan penggunaan teknologi maklumat serta kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.

Dalam konteks ini, peranan pekerja sosial amat signifikan dalam meningkatkan daya tahan, kefungsian sosial dan kesejahteraan hidup masyarakat. Justeru, penggubalan RUU PKS adalah satu langkah yang perlu direalisasikan bagi memperkasakan profesion ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

ATAS
Accessbility Option