LENSA KPWKM

MESYUARAT MAJLIS SOSIAL NEGARA BIL. 2 2025

Mesyuarat      29 Julai 2025      Kuala Lumpur    

Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2025

29 Julai 2025

YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini di Parlimen. Majlis ini merupakan platform penting dalam menetapkan hala tuju pembangunan sosial negara, seiring komitmen Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Bagi memperkukuh impak pelaksanaan dasar, keanggotaan MSN mulai tahun ini telah diperluaskan melibatkan kementerian-kementerian strategik seperti Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Wilayah Persekutuan.

Perkembangan teknologi telah mendorong peningkatan jenayah seksual dengan penggunaan deepfake dan pencurian identiti digital. Bagi menangani isu ini, Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan KDN, PDRM, KBS dan KPWKM. Antara inisiatif yang dirancang termasuk satu seminar menangani jenayah seksual terhadap kanak yang akan diadakan pada November.

Mesyuarat hari ini meneliti pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 dan pembangunan Pelan Tindakan 2026–2030 yang menyelaras 44 dasar sosial utama. Turut dibincangkan ialah isu gelandangan mental, dengan sokongan kepada inisiatif KKM menubuhkan rumah jagaan psikiatri. Mesyuarat juga memperkukuhkan gerak kerja Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah dan menyokong inisiatif MyMAHIR oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menangani ketidakpadanan kemahiran graduan.

MSN merupakan jentera penyelaras utama dasar sosial kebangsaan. Pelaksanaan DSN 2030 mesti dipacu secara bersasar dan berimpak tinggi, dengan pemantauan berkala, ukuran impak dan akauntabiliti tinggi oleh semua agensi.

ATAS
Accessbility Option