Simposium Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK)
6 September 2026
Kuching, Sarawak
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak kerana setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera.
Lanjutan daripada itu “Simposium Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK)” untuk barisan hadapan di peringkat komuniti telah dianjurkan oleh JKM dan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; sebagai usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan sokongan kepada kanak-kanak serta keluarga.
Dalam ucapan perasmian, beliau berkata bahawa usaha melindungi kanak-kanak memerlukan pendekatan yang lebih proaktif dan menyeluruh, merangkumi pencegahan, pengesanan awal, intervensi serta sokongan berterusan. Sehingga kini, sebanyak 141 PPKK yang dianggotai 1,225 orang anggota telah dilantik bagi tempoh 2024 hingga 2026, sekali gus memperkukuh jaringan perlindungan kanak-kanak sehingga ke peringkat komuniti. Dalam masa yang sama, seramai 107,953 kanak-kanak menerima manfaat menerusi 3,419 program dan aktiviti yang dilaksanakan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sepanjang tahun 2025. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 1,580 program telah dilaksanakan dan memberi manfaat kepada 29,754 kanak-kanak.
Perlindungan kanak-kanak memerlukan komitmen bersama ibu bapa, Kerajaan, guru, jiran, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak dilindungi dan membesar dalam persekitaran yang selamat. Sebagai langkah proaktif, JKM turut melaksanakan projek rintis melibatkan 15 PAKK sebagai Hab Perkhidmatan Kanak-Kanak atau One Stop Center dengan konsep 1 PAKK 1 Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi setiap negeri.