LENSA KPWKM

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT PERKUKUH EKOSISTEM PENJAGAAN NEGARA

Program      24 Ogos 2026      Sarawak    

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT PERKUKUH EKOSISTEM PENJAGAAN NEGARA

24 Ogos 2026

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh sektor penjagaan negara menerusi Inisiatif Sektor Penjagaan KPWKM di bawah Belanjawan MADANI 2026 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Pada majlis sama, YB Menteri turut melancarkan Kempen Penjagaan KPWKM sebagai usaha membudayakan penjagaan berkualiti dalam kalangan keluarga, komuniti dan masyarakat.

Menerusi inisiatif ini, KPWKM memberi tumpuan kepada pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional dan pelaksanaan program latihan penjagaan bagi membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, berkualiti, profesional dan mampan. Selaras dengan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030, KPWKM menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang tahun 2030, di samping membuka peluang pekerjaan, keusahawanan dan laluan kerjaya profesional.

Kempen Penjagaan KPWKM bertemakan “Ilmu Menjaga, KASIH Dirasa” mengangkat nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni. Menerusi gagasan “Kita Sama Jaga”, semua pihak diseru memainkan peranan bersama bagi memastikan keluarga terus mendapat sokongan, wanita kekal produktif, penjaga dihargai serta individu yang memerlukan penjagaan dapat menjalani kehidupan dengan selamat, bermaruah dan sejahtera.

Majlis ini dihadiri oleh kira-kira 300 peserta daripada agensi Kerajaan, NGO, pemain industri dan pemegang kepentingan sektor penjagaan. Turut hadir pada majlis itu ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi Kementerian.

ATAS
Accessbility Option