KPWKM Semarakkan Penghayatan Hijrah di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis.
Sambutan yang bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” ini menzahirkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam sebagai asas pembinaan masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menghantar kontinjen seramai 14 orang bagi menyertai sambutan tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh penghayatan semangat hijrah dalam kalangan masyarakat.
Penyertaan ini turut mencerminkan komitmen KPWKM dalam menyemai nilai-nilai murni, memperkukuh institusi keluarga serta membina masyarakat yang inklusif, penyayang dan sejahtera selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Tema sambutan tahun ini mengangkat semangat hijrah Rasulullah SAW yang bukan sekadar peristiwa perpindahan, malah menjadi titik permulaan kepada pembinaan sebuah tamadun Islam yang unggul melalui penubuhan Negara Madinah.
Dalam majlis sama, Rektor UIAM iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, telah dipilih sebagai penerima utama Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2026 (1448H).
Nilai-nilai sejagat yang diketengahkan melalui tema ini turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Berteraskan nilai-nilai tersebut, KPWKM akan terus komited memperkasa wanita, keluarga dan masyarakat melalui pelaksanaan dasar, program serta inisiatif yang menyokong kesejahteraan sosial demi melahirkan masyarakat MADANI yang inklusif, berdaya tahan dan diberkati.