Hari ini, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah turun padang untuk meninjau dan menyantuni mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor. Mangsa-mangsa tersebut kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Height.
Setakat jam 10.00 pagi, PPS ini telah menempatkan sebanyak 109 keluarga, dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 484 orang. Sebuah lagi PPS turut dibuka pada pagi ini di Dewan Camelia, Putra Heights, yang menempatkan 9 keluarga mangsa.
Dalam lawatannya, YB Datuk Seri Dr. Noraini turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas daripada Yayasan Sime Darby dan sumbangan makanan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada mangsa-mangsa tersebut. Selain itu, YB Datuk Seri juga tidak ketinggalan memberi kata-kata semangat kepada semua mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui YKN telah menyediakan perkhidmatan sesi kaunseling oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS). Sesi kaunseling ini bertujuan untuk membantu mangsa-mangsa yang masih trauma akibat insiden tersebut, dengan memberi mereka ruang untuk meluahkan perasaan, menguruskan emosi, serta menerima sokongan psikologi yang sangat penting dalam fasa pemulihan. Khidmat kaunseling ini diadakan dengan harapan dapat menstabilkan keadaan mental dan emosi mangsa, serta memberikan mereka kekuatan untuk bangkit kembali selepas mengalami tragedi.
YB Datuk Seri Dr. Noraini juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa, termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat, serta individu-individu yang prihatin.
KPWKM akan terus komited dalam menjamin kesejahteraan mangsa bencana ini terutamannya kumpulan sasar yang terdiri daripada wanita, warga emas, OKU dan kanak-kanak.