Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi
14 April 2026
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri telah merasmikan Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi yang berlangsung di Kuala Lumpur bagi meraikan tokoh-tokoh wanita yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta kepimpinan yang cemerlang sepanjang pelaksanaan program PERANTIS tahun 2025.
Program PERANTIS dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bermula pada tahun 2024. Kejayaan PERANTIS pada tahun 2024 amat memberangsangkan. Seramai 1,247 peserta telah menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama, meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.
Pada tahun 2025, program ini diperluas dengan penglibatan 100 tokoh wanita dan 4,129 peserta dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Bagi tahun 2026, RM4juta diperuntukkan dengan sasaran penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta, sekali gus mengukuhkan lagi usaha melahirkan pemimpin wanita berkualiti di pelbagai sektor.
Tema “Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi” yang dipilih amat bertepatan dengan semangat PERANTIS di mana setiap tokoh dan peserta mempunyai potensi yang tersendiri dan melalui program ini, potensi tersebut telah digilap berdasarkan pengalaman pembelajaran, bimbingan mentor serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan. Komitmen yang ditunjukkan sepanjang program ini membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tangggungjawab kepimpinan dengan cemerlang, serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Turut hadir YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.