LENSA KPWKM

PROFESION KAUNSELOR DIPERKASA HADAPI ERA KECERDASAN BUATAN

Program      28 Januari 2026      KPWKM    

Profesion Kaunselor Diperkasa Hadapi Era Kecerdasan Buatan

28 Januari 2026

Hubungan terapeutik yang berasaskan empati, kepercayaan dan kefahaman konteks budaya merupakan elemen teras yang tidak dapat digantikan oleh teknologi, justeru kaunselor perlu berperanan sebagai pengamal dan penilai kritikal dalam penggunaan era Kecerdasan Buatan (AI) agar selaras dengan etika profesion.

Menurut YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika Majlis Amanat Bersama Kaunselor Berdaftar dan Seminar Profesional Kaunselor Dalam Mendepani Teknologi Kecerdasan Buatan anjuran Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) menegaskan bahawa penggunaan AI dalam perkhidmatan kaunseling berperanan sebagai alat sokongan dan bukan pengganti kepada kaunselor profesional, khususnya bagi saringan awal, analisis emosi serta peluasan akses perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, LKM turut menggariskan enam fokus utama reformasi perkhidmatan kaunseling menjelang tahun 2026, termasuk semakan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dan pemerkasaan pengurusan kompetensi melalui Sistem Pengurusan Kaunselor Berdaftar (MYeLKM).

Mulai tahun 2026, semua kaunselor berdaftar diwajibkan menggunakan MYeLKM bagi tujuan pendaftaran, pemantauan kompetensi dan pengurusan data profesional, selaras dengan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling serta kepercayaan masyarakat terhadap profesion ini.

KPWKM terus komited memperkasa profesion kaunselor agar kekal relevan, beretika dan berteraskan nilai kemanusiaan dalam mendepani cabaran era teknologi kecerdasan buatan (AI).

Turut hadir, YBhg. Datin Dr. Ruhani Mat Min, Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia dan Tuan Haji Sadli Osman, Pendaftar Lembaga Kaunselor Malaysia serta pegawai Jabatan dan Agensi KPWKM.

ATAS
Accessbility Option