Memperkukuh Kerjasama Strategik Malaysia–Türkiye dalam Dasar Kekeluargaan
22 Mei 2025
Satu pertemuan dua hala yang bermakna telah diadakan antara YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia dan TYT Mahinur Özdemir Gökta?, Menteri Perkhidmatan Sosial dan Keluarga Türkiye.
Kedua-dua menteri berkongsi cabaran demografi yang sedang dihadapi oleh kedua-dua negara, termasuk penurunan kadar kelahiran dan perubahan struktur keluarga. Mereka turut membincangkan strategi nasional untuk memperkukuh institusi perkahwinan, keibubapaan, dan daya tahan keluarga.
Türkiye berkongsi insentif baharu yang diperkenalkan bagi pasangan berkahwin dan ibu bapa, manakala Malaysia mengetengahkan inisiatif seperti skim simpanan kelahiran yang ditawarkan di beberapa negeri serta usaha meningkatkan kadar perkahwinan. Isu sosial berkaitan naratif gender dan peningkatan keganasan berasaskan jantina turut disentuh, dengan kedua-dua negara mengambil langkah proaktif melalui advokasi, pendidikan dan penggubalan undang-undang.
Malaysia telah mencadangkan penubuhan Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai rangka kerja rasmi untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang perkhidmatan sosial inklusif, reformasi dasar kekeluargaan, pemerkasaan digital wanita, dan penjagaan berasaskan komuniti bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU.
Langkah ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam kerangka Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperluas kerjasama antara serantau dan antarabangsa demi pembangunan sosial berteraskan keluarga.