PELUNCURAN DASAR KASIH KELUARGA NEGARA (DKKN) & JELAJAH SEJAHTERA MADANI - SKIM INSURANS KESEJAHTERAAN RAKYAT (SIKR)
14 Februari 2026
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah meluncurkan Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Perak.
DKKN merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) merupakan satu kerangka dasar sosial komprehensif yang mengiktiraf keluarga sebagai unit asas kestabilan sosial dan daya tahan negara khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan sosioekonomi, peralihan demografi serta impak transformasi digital terhadap kehidupan masyarakat.
DKKN menggariskan lima teras strategik, iaitu memartabatkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan keupayaan perancangan keluarga, meningkatkan kemampuan dan kualiti keibubapaan, menyokong pemerkasaan keluarga secara inklusif dan menambah baik pengurusan konflik keluarga.
Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) pula merupakan inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). Inisiatif ini menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan miskin dalam Sistem eKasih yang berdepan kejadian tidak dijangka seperti kematian atau hilang upaya kekal.
Penggabungan dua inisiatif antara KPWKM melalui LPPKN dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) ini mencerminkan sinergi kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan, inklusif dan berfokus kepada keperluan rakyat.
Turut hadir YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan.